Followers

Sunday 9 December 2012

Masihkah Terbuka Jalan Kebahagiaan Itu?


“Sudah terlalu lama kau berada dalam keadaan begini, Burhanuddin.”


Burhanuddin mengangkat kepalanya. Dia merenung ke arah sekeliling. Tiada sesiapa pun yang sedang berbicara dengannya. Hanya kelihatan tiga orang pelajar luar negara, sedang khusyuk membaca Al-Quran di ruangan solat Masjid Sultan Haji Ahmad Shah. Di tangan Burhan, kitab zikir Al-Ma’thurat tertutup rapi.


“Sampai bila kau hendak jadi begini?”


Burhanuddin tidak menjawab.


“Hanya kerana takdir Allah, engkau tinggalkan jalan dakwah ini…”



Gambar hiasan.



Kelu.


“Engkau tidak faham perasaan aku.” Burhan membalas, sendirian. “Berikan aku masa.”


Suara itu tidak lagi kedengaran.


Burhanuddin bingkas bangun. Dia sudah menyelesaikan wirid paginya. Dia punya tajuk-tajuk yang perlu dibaca sebelum kelas bermula.


1 - Hatinya Berdarah, Luka yang Dalam…


Burhanuddin berjalan di persiaran, menuju ke Mahallah Zubair Al-Awwam. Pagi itu Burhan terasa segar, begitu sejuk udaranya. Langit mula menzahirkan kebiruannya dari arah timur, cahaya fajar menyusup di celah langit yang kelam.


Entah mengapa, Burhanuddin berasa agak nostalgia pagi itu.


Sedikit demi sedikit, kenangan masa lalunya bermain di fikiran, seperti sebuah filem yang sedang ditayangkan di panggung wayang. Dari saat dia menjejakkan kaki di Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya, kemudian dia merealisasikan cita-citanya di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Hampir empat tahun dia berada di UIAM Kampus Kuantan, menumpukan konsentrasinya dalam pengajian Mathematical Science, sebelum berhijrah ke Gombak untuk meneruskan pengajian minor dalam Islamic Revelaed Knowledge (IRK), kini.


Burhanuddin tersenyum sendirian. Begitu banyak kenangan manis dilaluinya, bersama-sama sahabat-sahabat perjuangannya. Muncul di benak fikirannya wajah Khairul Amir, Fawzan, Wan Azmi dan beberapa orang da’i muda, entah bagaimana khabar mereka sekarang ini. Terasa rindu untuk turun berjuang bersama-sama mereka.


Senyuman itu mati, tiba-tiba. Perasaan itu datang lagi. 


Pedih. Menyakitkan.


Hatinya berdarah kembali, lukanya begitu dalam.


Burhanuddin tidak mampu menahan air matanya.


“Ya Allah…”


Gambar hiasan.




2 - Setahun Lalu


Ya, setahun lalu.


Sehinggalah setahun lalu, Burhanuddin seorang yang berbeza daripada hari ini. Semangatnya untuk menegakkan kalimah Allah sebagai kalimah yang tertinggi, begitu berkobar-kobar. Walaupun prestasi akademiknya biasa-biasa sahaja, itu bukan satu penghalang baginya.


Dari UIAM Petaling Jaya lagi, nama Burhanuddin begitu menonjol dalam kalangan pelajar. Seringkali menjadi imam solat di masjid, memberikan tazkirah dan ceramah motivasi di berbagai-bagai tempat. Pendekatannya yang lunak dan mudah mesra dengan sesiapa sahaja, tanpa mengira negeri dan pola pemikiran, menyebabkan ramai remaja bermasalah kembali ke pangkal jalan di bawah tangannya. Keperibadiannya menawan hati setiap pihak, biarpun Burhanuddin tidak memegang jawatan-jawatan penting di Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya dan UIAM Kuantan.


Sehinggalah setahun yang lalu, segala-galanya normal dilihat pada Burhanuddin.


Setahun yang lalu merupakan suatu titik perubahan buat diri Burhanuddin.


Setahun yang lalu, hatinya terhiris luka dengan perkahwinan sahabatnya, Wan Azmi (apa kejadah, eloklah orang kahwin, bhai). Ketika itu, dia berada dalam tahun terakhir di UIAM Kuantan.


Sebenarnya, Burhanuddin gembira melihat sahabatnya sudah menyempurnakan separuh daripada agamanya, seperti yang seringkali diseru dalam kebanyakan hadith Rasulullah S.A.W. Tetapi, alangkah terkejut besar apabila Burhanuddin mengetahui bahawa Wan Azmi ‘mendirikan masjid’ bersama Nik Mumtazah.


Buat Burhanuddin, nama itu istimewa di hatinya. Bertakhta di hatinya semenjak di Petaling Jaya. Bersama-sama bergerak dalam landasan dakwah yang sama. Keperibadiannya dan kesolehahannya memikat hati Burhanuddin. Nik Mumtazah memiliki ciri-ciri isteri yang menjadi dambaan mana-mana mujahid. Tiada siapa yang mengetahui isi hati Burhanuddin, kecuali sahabat karibnya, Khairul Amir.


Alangkah remuk redam hati Burhanuddin ketika itu. Namun, dipaksakan jua dirinya, memenuhi undangan ke walimatul urs perkahwinan kedua-dua mempelai itu. Dimaniskan wajahnya di hadapan Wan Azmi dan Nik Mumtazah, tetapi di hatinya kedukaan menguasai. Hanya ucapan “Barakallahu lakuma wabaraka ‘alaikuma wajama’a bainakuma fi khair” yang mampu diberikan kepada mereka.


Semenjak itu, Burhanuddin lebih banyak menghabiskan masa, memenjarakan dirinya di biliknya. Burhanuddin hanya akan turun untuk menghadiri kuliah, aktiviti kokurikulum, makan dan ke surau. Gerak kerja dakwahnya mulai pudar sedikit demi sedikit sebelum akhirnya terkubur selepas tamatnya pengajian di UIAM Kuantan. Usrahnya tidak berjalan lagi. Blognya yang penuh dengan idea-idea dan mesej Islami, tiba-tiba tidak lagi aktif, usang penuh berdebu. Burhanuddin kini menyepi, menyendiri, mendiamkan dirinya.



Gambar hiasan.



Bukan sedikit usaha yang dilakukan sahabat-sahabatnya (baca: adik-beradik) untuk memujuknya kembali aktif dalam dunia dakwah. Semuanya tidak berhasil, sekalipun Khairul Amir. Burhanuddin menerima impak yang terlalu besar, oleh kerana dia tidak pernah bercinta. Inilah pengalaman pertama buat Burhan, fikir Khairul Amir.


3 - Tempoh Hibernasi


Di dalam bilik pula, Burhanuddin banyak mengalirkan air mata, tanpa disedari oleh rakan-rakan sebiliknya. Dia berusaha untuk menyembunyikan kesedihannya daripada menjadi pengetahuan umum. Di kala dia bersendirian di bilik, Burhanuddin umpama anak kecil yang menangis. Dia menyesal, “Kenapalah aku tidak meluahkan perasaanku dan seterusnya meng-khitbah Nik Mumtazah terlebih dahulu? Kenapalah aku terlalu bodoh, menunggu ke tahun terakhir barulah bertindak?”


Sehinggalah tiba ke kemuncak, Burhanuddin menyoal, “Kenapalah Allah menimpakan ke atas diriku dengan ujian yang berat seperti ini? Kenapa begitu sukar untuk kuteguk kebahagiaan ini?”


Burhanuddin melalui dua bulan terakhirnya di UIAM Kuantan dengan rendaman air mata. Hanya Al-Quran dan buku Berbahagialah! Allah Maha Pemurah menjadi penemannya, di kala Burhanuddin sedang bertarung melawan perasaannya sendiri. Buku itu sebenarnya merupakan terjemahan kepada jilid pertama kitab Miftah Dar As-Sa’adah (Kunci Rumah Kebahagiaan) karya ulama agung, Al-Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah. Itulah ‘penawar’ yang diberikan oleh Khairul Amir, dek mereka sudah kehabisan akal merawat kemurungan Burhanuddin. Hanya doa mampu mereka panjatkan, semoga Allah SWT mengeluarkan Burhanuddin, salah satu daripada mata-mata rantai perjuangan, daripada kekelaman dunia kesedihan.


Setiap hari, Burhanuddin melazimi untuk menelaah terjemahan kepada kitab klasik itu. Sedikit demi sedikit kesedihan yang menjalari Burhanuddin, terungkai. Dengan bahasa yang mudah, Ibnu Qayyim menjelaskan di awal kitabnya mengenai Hikmah dan Kebijaksanaan Allah SWT.


Di antara ungkapan yang begitu menusuk kalbu Burhanuddin ialah:


“Di samping itu, kerana cinta kepada Allah SWT yang merupakan puncak kesempurnaan dan kebahagiaan seorang hamba hanya wujud dengan menanggung kesulitan demi ketaatan dan keredaan-Nya, maka hanya dengan menjalani semua itulah cinta sejati dapat wujud dan dapat diketahui keteguhannya di dalam hati.”


Burhanuddin merasakan suatu tamparan buat dirinya. Hati nuraninya menjerkah, “Hai Burhanuddin, engkau katakan engkau cintakan Allah SWT, tetapi kenapa engkau tewas pada ujian-Nya?”


Burhanuddin meneruskan pembacaannya.


“Hikmah Allah SWT menghendaki untuk mengeluarkan Adam AS dan keturunannya ke tempat yang diliputi syahwat dan kecintaan kepada hawa nafsu. Manakala cinta kepada Allah SWT hanya akan wujud dengan mengutamakan kebenaran dan menghindari hawa nafsu, serta hal-hal yang lain di dunia.”


Burhanuddin sekali lagi merasakan ditampar dengan ungkapan tersebut. Betapa hinanya diri dirasakannya, mengharapkan cinta Allah SWT sedangkan dia masih lagi diulit dengan cengkaman hawa nafsu, yang telah menyebabkan dirinya tenggelam dalam kesedihan.


“Dengan demikian, manusia dituntut untuk memikul kesulitan yang berat, menjalani bahaya, menanggung celaan, bersabar menghadapi kezaliman dan kesesatan, serta dituntut untuk menanggungnya. Semua ini untuk memperkukuh kekuatan cinta yang tertanam di dalam hati. Kemudian hasilnya pun akan dinikmati oleh seluruh anggota tubuhnya.”


Kali ini, Burhanuddin tidak dapat menahan air matanya. Betapa rahman dan rahimnya Allah SWT, menurunkan ujian kepadanya untuk meneguhkan lagi kekuatan cintanya kepada Ilahi. Semua ini tidak lain kerana kasih dan rahmat Allah SWT buat dirinya, yang sering alpa dan lalai.


4 - Muhasabah Diri


Burhanuddin membuat muhasabah diri. Betapa bijaksananya Allah SWT mengatur perjalanan alam, segala-galanya wujud hikmah yang tersendiri. Sedikit demi sedikit Burhanuddin menyedari hikmah di sebalik segala kesedihan yang dilaluinya.


“Mungkin Allah SWT berikan kepadaku sedikit lagi masa untuk tempoh bersedia. Perjalanan pengembaraan ilmu tidak berhenti di sini, masih ada dua tahun lagi untuk kuteroka di UIA Gombak. Layakkah untukku mendirikan baitul muslim, dalam keadaan kewanganku masih lagi bergantung dengan pinjaman PTPTN? Layakkah aku untuk memikul tanggungjawab ketua keluarga, di samping tanggungjawab sebagai pelajar dan anak, dalam masa yang sama?


“Perkahwinan bukan semata-mata jalan untuk menzahirkan perasaan cinta dan kasih sayang secara halal, tetapi ia lebih daripada itu. Jalan yang ditempuh pula selepas perkahwinan bukannya mudah, perlu kepada persediaan yang rapi sebelum itu.


“Mahukah aku melihat bahtera rumah tanggaku roboh kerana terlalu tergesa-gesa mendirikannya? Tidakkah aku sudah lihat statistik bilangan kes perceraian di usia muda perkahwinan? Ya Allah, Maha Tinggi Kebijaksanaan-Mu mengatur perjalanan hidup hamba-Mu.”


Burhanuddin kembali bangkit daripada kesedihan. Dia mulai belajar untuk melupakan perasaannya pada Nik Mumtazah. Buat apa memendam perasaan pada isteri orang? Burhanuddin memujuk dirinya: “Insya-Allah, kalau bukan dengan Nik Mumtazah, pastinya Allah sediakan seorang isteri buatku, yang lebih baik daripada dia!”


Burhanuddin memohon keizinan daripada sahabat-sahabatnya. Dia ingin ‘bercuti’ selama dua tahun daripada dunia dakwah buat sementara. Dia ingin mempersiapkan dirinya dengan prestasi akademik yang cemerlang, kerana selepas itu dia akan berpindah ke UIAM Gombak. Suatu perjalanan yang lama untuk meraih Ijazah Sarjana Muda. 


Tiada apa yang sahabat-sahabatnya dapat lakukan. Mereka memahami apa yang telah Burhanuddin lalui selama ini, dan memang patut dia berbuat demikian, demi kelancaran dakwahnya pada masa akan datang. Apakah mereka sanggup melihat prestasi akademik Burhanuddin tetap maintain pada tahap biasa-biasa, padahal dia sangat berpotensi untuk menjadi tokoh yang disegani suatu hari kelak?


5 - Janji itu


Burhanuddin tiba di biliknya di Mahallah Zubair Al-Awwam. “Bismillahi walajni, wa bismillahi kharajni, wa ‘alallah rabbi tawakkalni,” ucapnya sebelum memberikan salam.


“Wa’alaikumussalam. Ha, dah balik pun,” balas Khairul Amir. Sama seperti Burhanuddin, Khairul Amir turut mengambil minor, di dalam bidang IRK juga.


“Kenapa, Amir?” Burhanuddin merasakan Khairul Amir hendak berbicara dengannya.


“Burhan, ana nak bercakap dengan enta,” kata Khairul Amir. Tepat telahannya. Burhanuddin menuju ke compartment Khairul Amir, kemudian duduk di atas katil, berhadapan dengan Khairul Amir. Kelihatannya Khairul Amir sedang mengulang kaji.


“Ada apa ni, Amir? Macam serius je.”


“Memang ada pun, dan memang serius pun.” Khairul Amir terdiam seketika. “Burhan, enta tahu tak hari ini hari apa?”


“Eh, hari ni hari Khamislah.”


“La, memanglah hari ini hari Khamis,” Khairul Amir menepuk dahinya. “Maksud ana, tarikh hari ini. Enta ingat tak?”


Burhanuddin berfikir sejenak.


‘Tarikh hari ini? Ada apa pada hari ini, eh? Takkan hari jadi Amir kot, hari jadi dia kan bulan depan?’


“Serius, syeikh, ana tak ingat. Boleh anta ingatkan ana? Almaklumlah, ana kan dah tua. Hehehe…”


“Okey, tak apa kalau enta tak ingat. Kalau enta nak tahu, pada tarikh hari ini enta janji dengan ana dan sahabat-sahabat kita,enta mohon masa dua tahun untuk ‘cuti’. Ingat?”


‘Allah,’ bisik Burhanuddin. Barulah dia teringat kembali tentang apa yang dikatakan oleh Khairul Amir.


“Macam ni, kita ada anak-anak usrah yang baru, mereka baru saja masuk ke sini tiga minggu lepas. Alhamdulillah, mereka punya semangat dan potensi yang tinggi, yang harus kita gilap. Jadi, ana harap enta dapat berjuang kembali bersama-samaana dan sahabat-sahabat kita di sini,” jelas Khairul Amir.


Burhanuddin membatu.


“Kenapa diam je enta? Takkanlah enta masih lagi sedih? Sudahlah Burhan, terimalah qada’ dan qadar Allah.” Khairul Amir mengagak Burhanuddin pasti menangis tadi. Matanya memerah.



Gambar hiasan.



Ana bukan sedih, cuma ana bimbang.”


“Apa yang enta bimbangkan? Ce cite, ce cite...”


“Masih layakkah insan hina seperti ana men-tarbiyyah orang lain? Setelah sekian lama ana menyepikan diri? Anta pun tahu kan…”


“Siapa kata enta tak layak? Enta cuma perlukan masa, untuk menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Dan sekarang, entasudah membuktikannya,” celah Khairul Amir. “Prestasi akademik enta semakin meningkat. Ilmu dan thaqafah enta semakin bertambah. Dan, yang lagi penting, enta sudah kembali seperti Burhanuddin yang ana kenal sewaktu di UIA PJ. Tak ada sesiapa yang layak mengatakan enta sudah tidak layak men-tarbiyyah.”


Burhanuddin mendiamkan diri lagi.


“Macam mana?”


Burhanuddin mengambil nafas dalam-dalam, kemudian menghelanya perlahan-lahan. Satu senyuman terukir di bibir


“Insya-Allah.”


“Alhamdulillah,” ucap Khairul Amir. Dia segera memeluk erat-erat Burhanuddin, sambil mengucapkan, “Selamat kembali, Burhanuddin.” Air mata kesyukuran berlinangan, segala puji-pujian bagi Allah SWT.


6 - Penutup


Setelah selesai menunaikan solat Dhuha, Burhanuddin dan Khairul Amir berjalan menuju ke kafeteria di Mahallah Ali.


“Burhan, ana nak tanya, pagi tadi sebelum balik ke bilik, enta menangis lagi ke? Ana nampak mata enta merah,” soal Khairul Amir.


“Ha’ah,” jawab Burhanuddin, tanpa berselindung.


“Kenapa? Enta masih tak dapat lupakan Nik Mumtazah?”


“Bukan. Bukan sebab dia.”


“Habis tu?”


“Sebab, ana terkenang kembali, betapa lemahnya diri ana suatu ketika dahulu, membiarkan diri ini jatuh tersungkur hanya kerana cinta yang tidak pasti. Membiarkan hati ana terluka dan menanggung rasa pedih, disebabkan kebodohan ana sendiri,” jawab Burhanuddin. Khairul Amir faham makna tersirat kata-kata itu.


“Burhan, jangan jadikan kekecewaan itu asbab untuk enta menutup pintu hati enta, menyambut cinta seorang muslimah yang mujahidah yang sedang menunggu enta di luar sana,” nasihat Khairul Amir, bercampur baur dengan mesej tersirat yang cuba disampaikannya. Burhanuddin menoleh ke arahnya.


“Maksud enta?” Burhanuddin menagih kepastian. Ada sesuatu di sebalik kata-kata itu, fikirnya.


“Beginilah, alang-alang ana oyak gitu kat entaana beritahu enta. Sebenarnya, ada seorang akhawat ingin meng-khitbahenta.”


‘Hah, khitbah?’ desisnya di dalam hati.


“Ibu bapanya minta dia carikan calon suami yang soleh secepat mungkin, sebelum gradAkhawat tu pula sebenarnya berkenan pada enta, jadi dia SMS ana, minta ana beritahu kepada enta tentang hajatnya,” jelas Khairul Amir panjang lebar. 



Gambar hiasan.



‘Ada akhawat nak kat aku? Biar betul... siapa akhawat tu? Macamlah aku kenal semua akhawat kat Gombak ni.’ 


Bermacam-macam perasaan bercampur-baur di dalam hatinya: gembira, malu, bahagia, gementar… (Siapa yang tak bahagia tak terkata, malu sambil segan silu, kalau diri ada yang diminati, bhai...)


Dia mengeluarkan telefon bimbitnya daripada saku, dan membuka Inbox.


“Ini dia mesejnya.”


Burhanuddin membaca SMS tersebut.


“Assalamualaikum akh. Asif ganggu akh. Untuk mengelakkan maksiat dan menjaga kesucian ana di jalan dakwah ini, ana mengambil keputusan untuk menikah. Dan ana mohon jasa baik akh untuk mengkhitbah Akh Burhanuddin bagi ana. Asif sekiranya cara ana kurang sesuai.”
From: UIA Nur Sakinah



‘Nur Sakinah?’ 


Barulah Burhanuddin ingat, sewaktu Ta’aruf Week di Pusat Matrikulasi, Burhanuddin pernah menolongnya bersama-sama beberapa orang committee sisters membawa seorang pelajar baru yang sakit ke Pusat Perubatan Universiti Malaya pada pukul tiga pagi (pagi buta, syeikh, tengah orang lain sedap diulit mimpi). Oleh kerana tiada seorang pun dalam kalangan committee sisters tidak membawa wang ketika itu, Burhanuddin menanggung kos pendaftaran dan rawatan buat pelajar itu. Pelajar itu adalah Nur Sakinah.


“Macam mana, Burhan? Enta bersedia tak? Insya-Allah, orangnya solehah.”


Burhanuddin hanya membisu seribu kata.


“Amir.”


“Ya?”


Anta rasa, masihkah terbuka jalan kebahagiaan itu?”


Amir tersenyum. Dia menepuk bahu Burhanuddin.


“Ya, masih terbuka.”



Miftah Darus Sa’adah
Mahallah Aisyah, Centre for Foundation Studies, IIUM
29 September 2011




Link asal: blog Daie Siber

Saturday 3 March 2012

3 MAC 1924 JATUHNYA KHILAFAH ISLAMIYAH

3 MAC 1924 JATUHNYA KHILAFAH ISLAMIYAH

penyebab utama khilafah islam jatuh (mustafal kamal arthatuk)


1.Khilafah Islamiyyah telah bermula sejak zaman selepas kewafatan Rasulullah s.a.w lagi, iaitu dengan bermulanya zaman pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, seterusnya pemerintahan Bani Umayyah, Bani Abbasiyyah, serta beberapa kerajaan lain sebelum kejatuhan kerajaan Islam yang terakhir, iaitu kerajaan Turki Uthmaniyyah. Khilafah Islamiyyah merupakan kekuatan umat Islam yang amat menggerunkan pihak barat. Khalifah sebagai pemimpin umat Islam serta pengganti Rasulullah bagi mentadbir dan memerintah negara Islam, merupakan ketua bagi umat Islam secara keseluruhannya. Namun begitu, kerajaan Islam, setelah beberapa abad ia mempunyai kuasa, sehingga dua pertiga dunia berada di dalam genggamannya, secara rasminya dibubarkan pada 3 Mac 1924M bersamaan 27 Rejab 1342H oleh seorang pengkhianat, Mustafa Kemal Atartuk. Kerajaan Islam terakhir yang mampu bertahan sehingga jatuhnya Khilafah Islamiyyah ini adalah Kerajaan Uthmaniyyah.

2.# MUSTAFA KEMAL ATARTUK Mustafa Kemal Atartuk merupakan dalang dan pengkhianat di sebalik kejatuhan kerajaan Uthmaniyyah dan pembubaran Khilafah Islamiyyah khususnya. Mustafa dilahirkan di Salonica pada 12 Mac 1881. Salonica merupakan kota orang Yahudi yang mempunyai penduduk seramai 140 000 orang. 20 000 daripada mereka merupakan orang Yahudi Aldunama, iaitu kaum Yahudi yang berpura-pura memeluk agama Islam.

# KEPERIBADIANNYA Sewaktu kecil, Mustafa Kemal Atartuk sangat dibenci dan disisihkan oleh teman-temannya. Beliau sering bertengkar dengan guru, dan sentiasa akan merasa senang jika beliau berjaya menyakiti seseorang. Beliau juga disifatkan mempunyai perangai yang lebih teruk daripada binatang. Beliau bukan seorang yang berperikemanusiaan, sentiasa menunjukkan kesombongan diri, sering bergelumang dengan maksiat, menjadikan arak dan judi itu sebagai makanan hariannya. Beliau juga sangat membenci bangsa Arab.

# PENDIDIKANNYA Beliau memulakan persekolahannya di Sekolah Fatimah, yang merupakan sebuah sekolah agama yang masyhur. Namun kerana ayahnya amat membenci syeikh-syeikh agama, Mustafa telah dipindahkan ke sekolah lain yang berdasarkan sukatan pelajaran Barat dalam pendidikannya. Pada usia dua belas tahun, beliau telah menyertai sebuah sekolah tentera di Salonica. Di sinilah guru-gurunya menggelarkannya dengan nama ‘Kemal’ yang bererti bijak dalam pelajaran dan matematik. Pada tahun 1985, sewaktu berusia 17 tahun, beliau telah menyertai Sekolah Tentera Monaster dan pada 1989, beliau menyertai Sekolah Tentera Istanbul. Di sini beliau mula bergiat dalam bidang politik dan menyertai gerakan-gerakan rahsia. Pada tahun 1902 pula mendapatkan pendidikan di Akademi Staf Komando Militer dan lulus pada tahun 1905. Mustafa Kemal Atartuk merupakan militer Turki yang telah membuat konspirasi dengan pihak Barat, untuk menjatuhkan Khilafah Islamiyyah dan menjadikan Turki sebuah republic yang mengamalkan dasar sekular. Dia meninggal dunia pada Khamis, 10 November 1938, kerana menghidapi pelbagai penyakit, dia antaranya Sirosis Hepatis kerana pengambilan alkohol yang banyak, penyakit kelamin (GO) serta beberapa penyakit lain yang memeritkan.

3. PERISTIWA-PERISTIWA SEBELUM KEJATUHAN KHILAFAH Rentetan daripada peristiwa terlibatnya Kerajaan Uthmaniyyah dalam Perang Dunia Pertama yang telah banyak menyumbang kepada kejatuahn kerajaan ini, banyak peristiwa yang telah berlaku sebelum kejatuhan Khilafah secara rasmi pada 3 Mac 1924M.

3.1 Peperangan Yunani-Turki Peperangan di antara tentera Yunani dan tentera Mustafa Kemal Atartuk ini merupakan peperangan yang telah lama diatur. Negara-negara bersekutu telah pergi berjumpa dengan perdana menteri Yunani, Venizelos, dan menyatakan sokongan mereka agar Yunani menjalankan misi menjatuhkan Khilafah Islamiyyah. Vinezelos kemudiannya bersetuju setelah mendapat dorongan daripada paderi-paderi, juga setelah menetapkan beberapa syarat seperti penyerahan Konstantinopel kepada Yunani jika kemenangan menyebelahi mereka. Atas persetujuan ini, Perancis kemudiannya menghantar dua orang wakil ke Turki bagi memaklumkan rancangan Freemasonary kepada Turki. Bantuan dari Perancis berbentuk kelengkapan perang yang cukup untuk 40,000 orang tentera dan bala tentera seramai 8,000 orang dari Syria telah disediakan. Amerika dan Itali terlibat di dalam pembelian dan penjualan senjata, manakala Rusia menampung perbelanjaan pembelian ini. Pertempuran di antara tentera Yunani dan tentera Turki berlangsung selama beberapa kali, sebelum akhirnya mereka dikalahkan oleh tentera Turki. Serangan pertama pada 10 Julai 1920 menyaksikan pengunduran tentera Turki, manakala pertempuran kedua pada 23 Ogos 1921 juga menyaksikan kekalahan teruk bagi pihak tentera Turki. Namun pada 13 September 1921, peperangan yang berlaku di Saqoria memperlihatkan kekuatan tentera Turki yang dipimpin oleh Mustafa Kemal Atartuk mengalahkan tentera Yunani. Kemengan tentera Turki ini telah memberi keyakinan dan kepercayaan kepada umat Islam akan kepimpinan Mustafa Kemal. Mereka mula menumpukan perhatian kepada beliau dan tidak lagi mempedulikan Khalifah. Sikap ini telah menepati matlamat Freemason dan Barat dalam menjulang nama Mustafa Kemal Atartuk.

3.2 MUKTAMAR LUZAN I Muktamar ini telah diadakan pada tarikh 28 Oktober 1922M. Muktamat ini membabitkan perwakilan dari Kerajaan Sementara Ankara, serta perwakilan dari Kerajaan Uthmaniyyah, serta negara-negara bersekutu. Jemputan kepada perwakilan Kerajaan Uthmaniyyah adalah sebagai tanda keadilan semata-mata. Di dalam Muktamar ini, tidak dibincangkan mengenai kepentingan bersama, tetapi untuk sebulat suara memutuskan bahawa Turki akan dibentuk menjadi sebuah negara Republik, dan kerajaan Uthmaniyyah akan dihapuskan. Turki diisytiharkan secara rasmi sebagai sebuah negara Republik pada 17 November 1922 oleh Majlis Kebangsaan Turki di Ankara. Walau bagaimanapun, jawatan khalifah masih lagi dikekalkan, namun atas urusan-urusan yang berkaitan dengan agama sahaja.

3.3 MUKTAMAR LUZAN II Muktamar Luzan tidak hanya berhenti pada ketika itu, namun ia terus diadakan buat kali kedua, dengan beberapa perancangan sulit yang telah dibincangkan oleh wakil Mustafa Kemal Atartuk iaitu Esmet Inono, dan wakil Negara-negara Bersekutu iaitu Lord Qiruzon. Perancangan sulit yang diadakan adalah seperti berikut: a. Mustafa Kemal Atartuk hendaklah berusaha sedaya upaya untuk membebaskan Turki daripada Islam. b. Jawatan Khalifah hendaklah dihapuskan. c. Saki-baki pejuang Islam hendaklah dihapuskan atau dihalau keluar daripada Turki. d. Gaya hidup Islam hendaklah digantikan dengan gaya hidup barat yang bercanggahan dengan ajaran Islam.

3.4 PERJANJIAN ANTARA ESMUT INONO DAN LORD QIRUZON Perjanjian ini berlaku lebih kurang lapan bulan selepas Muktamar Luzan II diadakan. Perjanjian yang ditandatangani ini ialah perjanjian bahawa Turki hendaklah membebaskan Qobrus, Syam, Iraw, Al-Jazair, Tunis, Mesir dan Libya daripada pemerintahnnya. Matlamatnya jelas, bahawa Inggeris berhajat untuk meluuaskan jajahannya setelah kejatuhan Khilafah Islamiyyah nanti.

3.5 MUKTAMAR LUZAN 1923M Muktamar Luzan pada 1923M telah menetapkan beberapa syarat yang wajib diterima Turki. Syarat-syarat tersebut ialah: a. Pemutusan semua hal yang berkaitan dengan Islam daripada Turki b. Penghapusan Khalifah untuk selama-lamanya c. Mengeluarkan Khalifah dan para penyokong Khalifah dan Islam dari negeri Turki, serta mengambil harta Khalifah d. Mengambil undang-undang sivil menggantikan undang-undang Turki yang lama

3.6 PEMBUBARAN KHILAFAH ISLAMIYYAH-3 MAC 1924M Setelah lama merancang secara teliti serta mengadakan pakatan-pakatan rahsia, membawa masuk unsur-unsur negatif kepada kerajaan Uthmaniyyah, serta kewujudan individu-individu yang bertalam dua muka, terutamanya Mustafa Kemal Atartuk yang menjadi dalang utama, membawa harapan kepada Barat serta melaksanakan impian mereka untuk menghapuskan Khilafah Islamiyyah yang menjadi nadi kekuatan umat Islam, akhirnya pada 3 Mac 1924, secara rasminya Khilafah Islamiyyah dibubarkan. Pada tarikh ini juga, selain pembubaran Khilafah Islamiyyah, Mustafa Kemal Atartuk dengan rasminya telah menjalankan beberapa perubahan drastik, antaranya: a. Mewartakan pengasingan agama daripada pemerintahan negara b. Menutup mahkamah-mahkamah Syariah c. Menghapuskan jawatan Menteri Syariah dan Menteri Auqaf d. Menghalau keluar Khalifah Abdul Majid II serta semua ahli keluarganya dari Turki.


Gambar Khalifah terakhir kita Sultan Abdul Hamed II meninggalkan istana atas arahan Presiden Turki pertama Mustafa Kamal Atartuk pada 3 Mac 1922.



4.0 KESAN KEJATUHAN KHILAFAH ISLAMIYYAH KEPADA UMAT ISLAM Kejatuhan Khilafah Islamiyyah, secara keseluruhannya memberi kesan yang amat mendalam kepada umat Islam dari pelbagai aspek, semenjak detik kejatuhannya 85 tahun yang lalu, sehingga ke hari ini. Dia antara kesannya adalah terhadap identity umat Islam, agama, sosial, undang-undang, pendidikan, ekonomi, bahasa, kesatuan umat Islam, bahasa dan pemikiran.

4.1 HILANGNYA IDENTITI UMAT ISLAM Kesan daripada kejatuhan Turki Uthmaniyyah boleh dilihat dari sudut hilangnya identiti umat islam yang mana tiada lagi sistem pemerintahan khilafah. Umat islam menjadi lemah sehingga mudah dijajah satu persatu dan umat islam mula diperkotak-katikkan dan ditindas kerana tiadanya seorang pemerintah yang adil lagi saksama.umat islam tidak lagi mampu mengamalkan ajaran islam yang sebenarnya kerana tiada pemimpin islam. Selain itu, umat islam hilang identiti dan maruah sebagai umat islam kerana umat islam mengalami gejala perpecahan yang amat dahsyat.umat islam pada asalnya berada di bawah satu khilafah Islamiyyah. Tidak timbul pada mulanya kerajaan-kerajaan kecil yang mempunyai sistem perundangan dan identiti sendiri. Kedatangan penjajah telah memusnahkan sistem Khilafah islamiyyah dan membahagikan Negara-negara umat islam kepada kerajaan kecil mengikut identiti bangsa dan sempadan negeri. Maka wujudlah Negara Mesir, Iran, Arab Saudi, Kuwait dan lain-lain lagi.

4.2 AGAMA Dari sudut agama pula ialah Mustafa Kemal Atartuk telah memerintahkan penerjemahan Al-Quran ke dalam bahasa Turki, sehingga kehilangan makna-maknanya dan cita rasa bahasanya. Hari cuti umat islam iaitu hari Jumaat pula, ditukarkan kepada hari ahad, menyamai hari cuti mingguan orang kristian. Sambutan hari raya Aidilfitri dan hari raya Aidiladha dihapuskan kerana dikatakan mengganggu ketenteraman rakyatnya. Kaum muslimin Turki pula dilarang menunaikan Haji. Kalendar barat diambil sebagai ganti kalendar Hijriyyah. Kaum muslimin dipaksa menyerukan azan dengan bahasa Turki. Ini kerana, pernah suatu ketika dia mendengar azan subuh dari masjid berdekatan dengan istananya, maka dia memerintahkan supaya tempat azan tersebut dirobohkan. Umat Islam jiga dipaksa membaca Al-Quran Karim dengan bahasa Turki bukan dengan bahasa arab. Selain itu, beliau terus menerus melakukan penghinaan terhadap masjid-masjid dan mengurangkan jumlah para khatib yang mendapat bayaran dari pemerintah sehingga berjumlah hanya 300 khatib. Dia juga memerintahkan pada mereka untuk membicarakan banyak perkara dalam khutbah Jumaat antaranya masalah pertanian, industri, politik dan disertai dengan pujian keatasnya.

4.3 SOSIAL Dari segi sosial, Umat islam diharamkan memakai Tarbus dan menggantikannya dengan topi. Dia mewajibkan rakyat Turki memakai topi, yang merupakan simbol kekafiran dalam pandangan bangsa Turki muslim. Mustafa Kemal memerintahkan tenteranya supaya membuat tiang gantung di seluruh lapangan yang terdapat di Bandar. Bagi mereka yang menolak memakai topi, akan digantung di lapangan tersebut. Kalau dilihat tiang itu digambarkan seolah-olah seperti buaian anak kecil yang mereka pakai bermain pada hari raya. Pengharaman hijab bagi kaum wanita juga dikuat kuasakan. Kaum wanita diperintahkan untuk menanggalkan hijab. Selain itu pemakaian tudung juga tidak dibenarkan di universiti dan sekolah, manakala kakitangan awam wanita yang memakai tudung dianggap melakukan kesalahan dan disingkirkan dari jawatan. Dia juga melarang poligami yang memang menentang syariat islam, dan menyamakan persamaan hak dan kewajipan antara lelaki dan wanita. Pemerintah memaksa wanita keluar dari rumah untuk memegang jawatan kerajaan yang mana dahulunya wanita kebanyakannya berperanan sebagai suri rumahtangga. Pemerintah mendorong diselenggarakan pesta-pesta tari dan drama-drama yang menggabungkan antara lelaki dan perempuan.

4.4 UNDANG-UNDANG Dari sudut undang-undang pula, Al-Quran tidak lagi dijadikan asas utama dalam pentadbiran negara dan pembentukan undang-undang. Undang-undang Allah s.w.t dianggap sudah lapuk dan ketinggalan zaman. Selain itu, Undang-undang Syariah digantikan dengan undang-undang Sivil, atas dasar sekularisme, dan kemudian diadoptasi daripada undang-undang Swiss, Itali dan Jerman.

4.5 PENDIDIKAN Kesan kejatuhan Khilafah dari segi pendidikan pula ialah kebanyakan sekolah agama digantikan dengan sekolah sekualar, yang mengamalkan sistem pendidikan sekular sebagai asas dalam pendidikan negara. Sistem ini bertujuan untuk memisahkan islam dari kehidupan keduniaan manusia. Mereka dengan berani menutup sekolah semua sekolah dan tadika islam dengan alasan keselamatan, yakni bagi mengelakkan tersebarnya fahaman ekstrim. Kanak-kanak pula mula dididik supaya mencontohi masyarakat di negara barat. Mereka juga membangunkan sekolah yang mengajar Tarian Timur dan Tarian Barat supaya negara Islam terus lena dalam kemunduran melalui hiburan dan pelbagai bentuk maksiat yang melepasi sempadan syara’ dan kewarasan akal yang normal.

4.6 EKONOMI Ekonomi juga menerima tamparan hebat akibat kejatuahn Khilafah. Ekonomi Islam dihapuskan dan diganti dengan sistem ekonomi barat seperti Kapitalis, Sosialis, Kapitalis moden atau globalisasi ekonomidan sebagainya. Bank-bank riba berleluasa dalam negara umat Islam. Penyelenggaraan ekonomi berasaskan riba merupakan perkara yang kebiasaan dalam kehidupan umat islam walaupun islam dengan jelas mengharamkannya. Selain itu perkara yang jelas hukum haramnya seperti arak dan judi diperniagakan dan dijadikan sumber kewangan utama bagi individu dan negara tanpa mengira kesan negatif kepada masyarakat.

4.7 BAHASA Kejatuhan Khilafah Islamiyyah tidak sahaja memberi kerosakan dalam bidang pendidikan, bahkan dalam bahasa yang mana mereka telah menggantikan bahasa arab dan bahasa Turki dengan huruf Latin. Dengan cara tersebut, bangsa Turki telah dapat dipisahkan secara keseluruhannya daripada agama dan warisan mereka. Mereka yang tidak menguasai huruf latin dengan baik pada ketika itu dihukum dengan pengharaman kerja, menarik balik kewarganegaraan, pengusiran dari tanah air dan penjara. Selain itu, pengajaran bahasa arab dan bahasa Turki dihapuskan serta penggunaan bahasa arab dalam penulisan dan komunikasi diharamkan.

4.8 PEMIKIRAN UMAT ISLAM Kejatuhan Khilafah telah menyebabkan umat islam mula diterapkan dan disogokkan dengan pemikiran sekularisme yang menanam dalam jiwa manusia bahawasanya kemajuan itu hanya dapat dicapai dengan mengikut cara barat. Pemikiran ini amat membahayakan, kerana asas bagi tiap sesuatu itu adalah agama, kerana tanpa agama akan rosaklah segalanya.

5. KESIMPULAN Kekuatan umat Islam yang sebenarnya adalah Khilafah Islamiyyah. Ia merupakan sesuatu yang dianggap Barat sebagai kekuatan dalaman umat Islam, kerana semua umat Islam bersatu dan bernaung di bawah pemerintahan yang satu. Namun begitu, keagungan Khilafah Islamiyyah yang bertahan selama lebih 1000 tahun lenyap begitu sahaja, dengan kehadiran pihak Barat yang sentiasa mencari peluang menghancurkan umat Islam, serta kehadiran munafik-munafik yang bersifat talam dua muka, membantu Barat dalam usaha menghancurkan Khilafah. Kesan kejatuhan Khilafah pada hakikatnya masih dirasai oleh umat Islam, dan kita sebagai umat Islam seharusnya sentiasa mengambil pengajaran, memahami kelemahan kita sendiri, dan mencari kekuatan untuk mengembalikan Khilafah Islamiyyah, agar semua umat Islam akan kembali bersatu padu, sama kesatuannya pada zaman Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun yang lalu.
6. BIBILIOGRAFI 1. Abdullah Azzam. 2007. Turki Negara Dua Wajah. Cetakan Pertama.Kuala Lumpur: Alam Raya Enterprise. 2. Ali Muhammad Ash-Shalabi. Terjemahan Samson Rahman MA. 2003. Bangkit Dan Runtuhnya Khilafah Utsmaniyyah. Cetakan Pertama. Indonesia: Pustaka Al-Kausar. 3. Dikemaskini oleh H.A.R GIBB d.k.k. 1986. The Encyclopaedia of Islam-New Edition. Jilid I. Leiden,New York: E.J Brill. 4. Malaysian Encyclopedia Research Centre Berhad. 1998. Ensiklopedia Islam. Jilid 7. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur. 5. Nik Azran Muhamed, Mahadi Haji Isa. 2009. Gerakan Freemasonary: Musuh Dalam Menghancurkan Islam. Cetakan Pertama. Kuala Lumpur: Hijjaz Record Sdn.Bhd. 6. Norizan Bin Sharif. 2007. Mencari Makna Di Sebalik Krisis Lebanon dan Palestin: Analisis Kritikal Percaturan Politik Amerika dan Kuasa Serantau. Cetakan Pertama. Institut Perkembangan Minda (INMIND). Semoga menjadi iktibar dan semoga kita tidak terpedaya agar tidak mengalami kejatuhan demi kejatuhan,tetapi sama-samalah kita bersatu TEGAKKAN KHILAFAH ISLAMIYAH...ALLAHUAKBAR!